Tuesday, September 24, 2019

BBM3410Satu2019: Masih Di Sini


Cerita yang tidak dapat dilupakan


Ogos tahun 2017 adalah satu detik yang tidak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Masih segar diingatanku bagaimana aku bersama kumpulan sukarelawan lain yang menyertai pasukan sorak rasmi atlet negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Kami telah menginap di Kolej Kediaman Sepuluh, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor selama 2 minggu berlangsungnya temasya tersebut. 

    Sebelum temasya berlangsung kami telah berkampung di Dewan Sri Pulasan, Kolej Kediaman Keenam, Universiti Putra Malaysia untuk menjalani latihan sorakan. Perasaan pada ketika itu amatlah teruja untuk bersorak dan memberikan semangat kepada atlet negara. Pelbagai jenis sorakan telah kami pelajari yang dibantu oleh Pasukan Sorak Team Malaysia (TM). Semangat kami pada ketika itu sangat berkobar-kobar sama seperti semangat atlet negara. 

    Pada hari temasya, kami telah dibahagikan kepada 25 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai seramai 35 orang chanters. Kami juga telah diaturkan dan dibahagikan venue-venue pertandingan. Bagi kumpulan aku, pada hari pertama temasya, kami ditugaskan untuk bersorak di venue acara rugbi di Stadium Petaling Jaya. Kami sangat bersemangat bersorak pada ketika itu. Lebih manis ialah pasukan Malaysia berjaya menewaskan gergasi rugbi Asia Tenggara iaitu Filipina. 

    Pada hari seterusnya, kami telah bersorak untuk acara Akhir Bola Jaring yang menemukan pasukan negara dan pasukan Singapura. Perlawanan ini menjadi tumpuan utama kerana ini merupakan ulangan perlawanan akhir antara Malaysia dan Singapura pada temasya 2015 di Singapura. Kami telah memberikan sorakan yang padu dan menggamatkan suasana di dalam Stadium Juara. Alhamdulillah, pasukan Malaysia telah berjaya menewaskan Singapura yang merupakan juara bertahan dan merangkul pingat emas. Akhir mataku menitis di saat pasukan negara dikalungkan pingat emas oleh YAB Perdana Menteri. 

    Kami juga telah bersorak untuk pasukan Badminton negara di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil. Selain itu, kami bersorak untuk pasukan gimnastik, bola tampar dan hoki dalam dewan negara di Mitec, Kuala Lumpur. Kami juga bersorak untuk atlet Olahraga di Stadium Nasional Bukit Jalil. Akhir sekali, kami berpeluang menyaksiakan Upacara Penutupan Rasmi Sukan Sea 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama-sama 80,000 orang penonton. Acara ini sungguh gilang-gemilang dan dipancarkan ke seluruh  dunia. Pada Upacara malam itu, bendera Persekutuan Sukan Sea telah diserahkan kepada wakil negara Filipina sebagai simbolik Filipina sebagai tuan rumah untuk temasya 2019. 

    Pengalaman menyertai pasukan sorak ini sangat terkesan dalam diriku. Aku dapat menyaksikan semangat dan keyakinan diri dalam diri atlet negara. Mereka berusaha sedaya upaya dan bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara. Oleh itu, aku sangat menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh atlet seluruh kontigen Malaysia. Aku turut menghargai penganjur Sukan Sea ini kerana telah menjayakan temasya ini dengan baik dan menjadi sejarah kebanggaan rakyat Malaysia. 

Terima kasih kerana sudi membaca. 
    

No comments:

Post a Comment